LAWATAN KERJA BTHMUI KE FR AGRO FARM DI KAMPUNG KULAPIS DAN KAMPUNG TUNGKU







BRUNEI-MUARA, Rabu, 21 Oktober 2026 – Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI) telah mengadakan lawatan kerja ke dua lokasi perusahaan pertanian FR Agro Farm, iaitu di Kampung Kulapis dan Kawasan Perkembangan Pertanian Kampung Tungku, bagi meninjau aktiviti pertanian serta meneroka potensi pelaburan dan peluang kerjasama dalam memajukan sektor pertanian, selaras dengan Pelan Strategik BTHMUI 2025–2035.
Rombongan BTHMUI diketuai oleh Yang Mulia Tuan Mohammad Hamita bin Haji Mohd Taib, Pengarah BTHMUI, bersama Yang Mulia Pengiran Yusdinah binti Pengiran Amjah, Penolong Pengarah BTHMUI, serta beberapa orang pegawai dan kakitangan BTHMUI.
Lawatan tersebut diadakan atas peluang yang diberikan oleh pemilik FR Agro Farm, Yang Mulia Tuan Haji Fadzil bin Haji Md Salleh, kepada pihak BTHMUI untuk meninjau kawasan ladang dan tanah pertanian yang diusahakan oleh beliau.
Lawatan dimulakan pada jam 9.00 pagi di kawasan pertanian FR Agro Farm, Kampung Kulapis, di mana rombongan berkesempatan melihat dengan lebih dekat aktiviti pengusahaan tanaman di kawasan ladang berkenaan. Antara jenis tanaman yang diusahakan oleh FR Agro Farm termasuklah lada padi, timun, terung dan labu.
Seterusnya, rombongan meneruskan lawatan ke FR Agro Farm di Kawasan Perkembangan Pertanian Kampung Tungku pada jam 10.00 pagi. Lawatan tersebut turut memberikan peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan membincangkan potensi kerjasama dalam bidang pertanian, khususnya yang berkaitan dengan pembangunan dan pemajuan kawasan pertanian.
Lawatan kerja ini merupakan sebahagian daripada usaha BTHMUI untuk mengenal pasti dan menilai peluang pelaburan serta kerjasama strategik dalam sektor pertanian, seiring dengan hala tuju dan aspirasi Pelan Strategik BTHMUI 2025–2035.
Melalui lawatan seumpama ini, BTHMUI berpeluang memperoleh pendedahan secara langsung mengenai aktiviti pengusahaan ladang serta potensi pembangunan sektor pertanian tempatan yang boleh diterokai bagi menyokong usaha pembangunan ekonomi yang berdaya maju dan mampan.

