LAWATAN KERJA BTHMUI KE FR AGRO FARM DI KAMPUNG KULAPIS DAN KAMPUNG TUNGKU

BRUNEI-MUARA, Rabu, 21 Oktober 2026 – Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI) telah mengadakan lawatan kerja ke dua lokasi perusahaan pertanian FR Agro Farm, iaitu di Kampung Kulapis dan Kawasan Perkembangan Pertanian Kampung Tungku, bagi meninjau aktiviti pertanian serta meneroka potensi pelaburan dan peluang kerjasama dalam memajukan sektor pertanian, selaras dengan Pelan Strategik BTHMUI 2025–2035.

Rombongan BTHMUI diketuai oleh Yang Mulia Tuan Mohammad Hamita bin Haji Mohd Taib, Pengarah BTHMUI, bersama Yang Mulia Pengiran Yusdinah binti Pengiran Amjah, Penolong Pengarah BTHMUI, serta beberapa orang pegawai dan kakitangan BTHMUI.

Lawatan tersebut diadakan atas peluang yang diberikan oleh pemilik FR Agro Farm, Yang Mulia Tuan Haji Fadzil bin Haji Md Salleh, kepada pihak BTHMUI untuk meninjau kawasan ladang dan tanah pertanian yang diusahakan oleh beliau.

Lawatan dimulakan pada jam 9.00 pagi di kawasan pertanian FR Agro Farm, Kampung Kulapis, di mana rombongan berkesempatan melihat dengan lebih dekat aktiviti pengusahaan tanaman di kawasan ladang berkenaan. Antara jenis tanaman yang diusahakan oleh FR Agro Farm termasuklah lada padi, timun, terung dan labu.

Seterusnya, rombongan meneruskan lawatan ke FR Agro Farm di Kawasan Perkembangan Pertanian Kampung Tungku pada jam 10.00 pagi. Lawatan tersebut turut memberikan peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan membincangkan potensi kerjasama dalam bidang pertanian, khususnya yang berkaitan dengan pembangunan dan pemajuan kawasan pertanian.

Lawatan kerja ini merupakan sebahagian daripada usaha BTHMUI untuk mengenal pasti dan menilai peluang pelaburan serta kerjasama strategik dalam sektor pertanian, seiring dengan hala tuju dan aspirasi Pelan Strategik BTHMUI 2025–2035.

Melalui lawatan seumpama ini, BTHMUI berpeluang memperoleh pendedahan secara langsung mengenai aktiviti pengusahaan ladang serta potensi pembangunan sektor pertanian tempatan yang boleh diterokai bagi menyokong usaha pembangunan ekonomi yang berdaya maju dan mampan.

 

PENYERTAAN PEGAWAI-PEGAWAI BTHMUI DI RISE SUMMIT DUBAI

11-17 Oktober 2026 memberikan nilai tambah dari segi pengetahuan, pendedahan antarabangsa dan peluang membina jaringan profesional. Ia turut membuka ruang untuk meningkatkan kesedaran pihak luar terhadap peranan serta potensi BTHMUI sebagai institusi yang mengurus dan membangunkan Harta Majlis melalui pendekatan yang profesional dan berorientasikan hasil.

RISE Summit 2026, bertemakan “Recharging Momentum in Global Economies”, menghimpunkan perspektif industri berkaitan aliran modal global, pelaburan, pembangunan bandar, hartanah, infrastruktur dan teknologi.

FORUM DAN PERSIDANGAN PELABURAN DAN KEWANGAN ISLAM | IFN ASIA 2026

Yang Mulia Pengarah BTHMUI Mohammad Hamita bin Haji Md Taib, berkesempatan menghadiri Forum dan Persidangan Pelaburan dan Kewangan Islam IFN Asia, yang menghimpunkan pakar, pelabur dan pemimpin industri tempatan serta antarabangsa bagi perkongsian pengetahuan, pandangan dan pengalaman dalam landskap kewangan dan pelaburan Islam.

Forum ini mengetengahkan perkembangan teknologi berlandaskan Syariah, perbankan Islam, pasaran modal dan Sukuk, inovasi pelaburan serta ekonomi dan industri Halal, di samping menyediakan ruang bagi dialog strategik dan pengukuhan hubungan antara pihak berkepentingan.

Penyertaan ini menyokong usaha BTHMUI dalam memperkukuh keupayaan organisasi, memperluas jaringan strategik serta memperkaya perspektif dalam pengurusan aset dan pelaburan, selaras dengan pendekatan tadbir urus yang berteraskan pengetahuan, kolaborasi dan penciptaan nilai jangka panjang.

Ilmu diperkasa • Jaringan diperkukuh • Nilai dicipta

MAJLIS CERAMAH SEMPENA MAULUD NABI MUHAMMAD S.A.W. 1448H

 

10 September 2026, Bandar Seri Begawan – Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI) telah mengadakan Majlis Ceramah Sempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada hari Khamis, 10 September 2026, bertempat di Bilik Mesyuarat Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam.

Majlis yang bermula pada jam 1.30 petang itu diisikan dengan ceramah bertajuk “Contohi Akhlak Rasulullah SAW Dalam Menanai Perintah Allah”, yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang daripada Bahagian Penyebaran Da‘wah, Pusat Da‘wah Islamiah.

Penganjuran ceramah sempena sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tersebut antara lain bertujuan memberikan kesempatan kepada anggota BTHMUI untuk sama-sama mengenang kelahiran dan meneladani kehidupan junjungan besar kita iaitu Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, insan mulia yang menjadi contoh terbaik dalam setiap aspek kehidupan.

Melalui ceramah tersebut, para hadirin turut diingatkan mengenai kepentingan mencontohi akhlak Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam menanai perintah Allah Subhanahu Wata‘ala, yakni memikul tanggungjawab untuk melaksanakan dan menjunjung segala perintah-Nya dengan penuh keimanan, keikhlasan dan istiqamah.

Majlis berkenaan juga dihasratkan dapat menyemai dan meningkatkan lagi rasa cinta kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, di samping memperkukuhkan keimanan serta mendorong anggota BTHMUI untuk terus menghayati dan mengamalkan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.

Penganjuran majlis seumpama ini merupakan antara usaha BTHMUI dalam menyemarakkan syiar Islam serta memupuk nilai-nilai kerohanian dan akhlak mulia dalam kalangan warga organisasi.

 

 

 

 

BTHMUI TEROKA POTENSI KERJASAMA STRATEGIK BAGI MEMPERKUKUH KETERJAMINAN MAKANAN NEGARA

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Ogos 2026 – Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI) telah mengadakan lawatan kerja ke Ladang Syarikat Mohd. Norfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-Anak yang terletak di Lot G, Simpang 31, Jalan Lampaki, Kampung Mulaut, sebagai sebahagian daripada usaha meninjau potensi kerjasama strategik dan peluang pembangunan dalam sektor agromakanan, khususnya […]