MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA RAKYAT DAN PENDUDUK DAERAH BRUNEI MUARA SEMPENA SAMBUTAN PERAYAAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG KE-80 TAHUN
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 14 Safar 1448H bersamaan 29 Julai 2026M – Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI) telah menyertai Majlis Ramah Mesra bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei Muara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 Tahun yang berlangsung di Padang Taman Haji Sir Omar ’Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Semasa keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke khemah Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI), keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei, diiringi oleh Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, Timbalan Menteri Pendidikan selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah BTHMUI, bersama Ahli-Ahli Lembaga Pengarah, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Pengarah, Penolong Pengarah serta pegawai dan kakitangan BTHMUI.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan mendengarkan penerangan ringkas yang disampaikan oleh Pengarah BTHMUI mengenai peranan, fungsi serta inisiatif strategik agensi dalam pembangunan, pengurusan dan pemerkasaan harta-harta Majlis Ugama Islam Brunei.
Selesai mendengarkan penerangan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan bergambar ramai bersama Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam, Pengarah dan Penolong Pengarah serta kakitangan BTHMUI.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan kemudiannya mempersembahkan pesambah berupa cenderahati kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai menjunjung kasih sempena keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke khemah BTHMUI.
Penyertaan BTHMUI dalam majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan agensi dalam memperkasa pembangunan dan pengurusan harta-harta Majlis Ugama Islam Brunei secara profesional, mampan dan berdaya maju, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 demi kesejahteraan umat Islam dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam.



