Lawatan Kerja BTHMUI ke Hua Ho Agricultural Farm
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai – Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI) telah mengadakan lawatan kerja ke Hua Ho Agricultural Farm bagi meninjau teknologi, inovasi dan amalan terbaik dalam sektor penternakan dan pertanian moden sebagai usaha memperkukuh pengetahuan serta meneroka peluang kerjasama strategik ke arah menyokong agenda sekuriti makanan Negara Brunei Darussalam.
Rombongan lawatan telah diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarah BTHMUI, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, Timbalan Menteri Pendidikan dan Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei, dan disambut oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Lau How Teck, selaku Pengarah Urusan Hua Ho Agricultural Farm.
Lawatan dimulakan di kompleks penternakan ayam penelur, di mana rombongan diberikan taklimat mengenai penggunaan sistem close house yang mengaplikasikan teknologi automasi dalam pengurusan makanan dan minuman, kawalan suhu, pengudaraan serta sistem kutipan telur secara berterusan. Rombongan turut berpeluang menyaksikan proses pengeluaran telur, penggredan, pemeriksaan kualiti dan pembungkusan sebelum dipasarkan kepada pengguna.
Seterusnya, rombongan dibawa melawat kawasan penanaman sayur-sayuran menggunakan sistem greenhouse, yang mengamalkan persekitaran tanaman terkawal bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan risiko serangan penyakit serta memastikan pengeluaran hasil yang berkualiti dan konsisten. Lawatan turut merangkumi kemudahan penyimpanan hasil pertanian di bilik sejuk (cold room) sebagai sebahagian daripada rantaian pengurusan pascatuai sebelum hasil dihantar ke pasaran.
Hua Ho Agricultural Farm merupakan antara syarikat yang menerima pengiktirafan Brunei Darussalam Good Agricultural Practice (GAP) daripada Jabatan Pertanian dan Agromakanan, sekali gus mencerminkan komitmennya terhadap amalan pertanian dan penternakan yang berkualiti, selamat dan mampan.
Lawatan kerja ini bertujuan memberi pendedahan kepada BTHMUI mengenai penggunaan teknologi moden, inovasi serta pengurusan operasi dalam industri agromakanan, di samping bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama strategik yang boleh diterokai dalam pembangunan sektor pertanian dan penternakan, selaras dengan usaha memperkukuh sekuriti makanan negara.
Lawatan diakhiri dengan sesi perbincangan dan pertukaran pandangan antara kedua-dua pihak mengenai amalan terbaik serta peluang kerjasama yang berpotensi diterokai pada masa hadapan bagi menyokong pembangunan sektor agromakanan yang mampan di Negara Brunei Darussalam.

Lawatan Kerja BTHMUI ke Hua Ho Agricultural Farm

Meninjau operasi penternakan ayam menggunakan sistem close house di Hua Ho Agricultural Farm.

Melawat kawasan penanaman sayur-sayuran menggunakan sistem greenhouse yang mengaplikasikan teknologi pertanian moden.

