Ahli-Ahli Mesyuarat Negara Mengadakan Sesi Dialog Bersama Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 9 Julai Ahli-Ahli Mesyuarat Negara (MMN) telah mengadakan Sesi Dialog bersama Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI) bagi mendapatkan penerangan mengenai peranan, fungsi, pencapaian serta hala tuju strategik badan tersebut dalam mengurus, membangunkan dan mengembangmajukan harta-harta Majlis Ugama Islam

Hadir mengalu-alukan rombongan ialah Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, Timbalan Menteri Pendidikan, selaku Naib Yang Dipertua Majlis Ugama Islam merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI). Dalam ucapan alu-aluannya, beliau menzahirkan penghargaan atas kesudian Ahli-Ahli Mesyuarat Negara mengadakan sesi dialog tersebut sebagai platform untuk memperkukuhkan persefahaman, mengeratkan kerjasama serta bertukar-tukar pandangan secara konstruktif mengenai pengurusan dan pembangunan harta-harta Majlis Ugama Islam.

Sepanjang sesi berkenaan, Ahli Ahli Mesyuarat Negara telah diberikan taklimat mengenai latar belakang penubuhan BTHMUI, mandat dan fungsinya, pelan strategik, program-program yang sedang dilaksanakan, pencapaian organisasi serta hala tuju pembangunan pada masa hadapan.

Sesi diteruskan dengan dialog yang memberi peluang kepada Ahli-Ahli Mesyuarat Negara mengemukakan pandangan, cadangan dan saranan bagi memperkukuhkan tadbir urus, meningkatkan keberkesanan pengurusan serta memperkasa usaha mengembangmajukan dan melaburkan harta-harta Baitul Mal demi kepentingan umat Islam, di samping menyokong pembangunan ekonomi Negara Brunei Darussalam.

admin
Author: admin