SEJARAH

Jabatan Majlis Ugama Islam dalam lipatan sejarahnya adalah sebuah bahagian dari lapan (8) bahagian yang terdapat dalam Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Brunei (JHEUB). Setelah sistem berkementerian diwujudkan dalam kerajaan Negara Brunei Darussalam pada Oktober 1986, Bahagian Majlis Ugama Islam diletakkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Syar’iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Pada 20 Muharram 1426H bersamaan 1 Mac 2005M, Bahagian Majlis Ugama Islam telah dinaiktaraf menjadi sebuah jabatan penuh dengan diketuai oleh Setiausaha Majlis Ugama Islam sebagaimana Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri bilangan 06/2005 Negara Brunei Darussalam rujukan (06)JPM/SK/2005 bertarikh 8 Rabiulakhir 1426H bersamaan 17 Mei 2005M.

Sejak 5 dekad (1959-2009), Majlis Ugama Islam Brunei diletakkan di bawah pengawasan dan pentadbiran Yang Dipertua Majlis Ugama Islam, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Urusetia kepada Majlis Ugama Islam berperanan membantu memperkasa pelaksanaan apa jua keputusan dan tindakan yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Ugama Islam.

Jabatan ini diketuai oleh Setiausaha Majlis Ugama Islam yang dilantik di bawah bab 14 Akta Majlis Ugama Islam Dan Mahkamah-mahkamah Kadi Penggal 77.

MATLAMAT

Membantu Majlis Ugama Islam menjalankan peranan dalam memastikan kehendak Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77 dan Akta-Akta atau Perintah-Perintah yang berkaitan dengan Majlis Ugama Islam berjalan dengan berkesan dan sempurna.

FUNGSI DAN PERANAN
    • Mengurus hal ehwal pentadbiran dan jawatankuasajawatankuasa Majlis Ugama Islam
    • Membantu menyediakan hal ehwal dasar dan undangundang yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam dan Ugama Islam
    • Mentadbir dan mengurus harta zakat, baitulmal dan wakaf 
    • Membuat penyelidikan mengenai dengan isu-isu ugama Islam 
    • Mentadbir dan melaksanakan kehendak Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77 serta Akta-Akta atau Perintah-Perintah lain yang berkaitan dengan Majlis Ugama Islam. 
STRUKTUR ORGANISASI

Terdapat 6 bahagian dan satu (1) badan diletakkan di bawah Jabatan Majlis Ugama Islam iaitu: 

1. Bahagian Mesyuarat

2. Bahagian Pentadbiran

3. Bahagian Undang-Undang

4. Bahagian Wakaf dan Baitulmal

5. Bahagian Kewangan dan Perakaunan

6. Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat

Sebuah Badan yang ditubuhkan pada tahun 1994 bertujuan untuk memikir, merancang, dan melaksana pengembangan dan pelaburan serta memajukan sebahagian harta-harta baitulmal dikenali dengan Badan Tanmiah. Badan ini mempunyai Lembaga pengarah yang dilantik oleh Majlis Ugama Islam dan dipengerusikan oleh Naib Yang Dipertua Majlis Ugama Islam.

  • 24 Ogos 1981

    Penubuhan Jawatankuasa Mengkaji Perkembangan dan Pelaburan Harta-Harta Majlis Ugama Islam.

    Memikirkan dan mengkaji kemungkinan untuk mengembang dan melaburkan harta-harta Majlis Ugama Islam dan mengemukakan sokongan-sokongan dan cadangan-cadangan kepada Majlis Ugama Islam untuk dipertimbangkan.

  • 15 Julai 1988

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istiadat Mengadap sempena ulang tahun keputeraan Baginda yang ke 42 tahun di Istana Nurul Iman telah bertitah antara lain:

    “Dibidang ugama, Kerajaan akan terus mengungkayahkan dari semasa kesemasa usaha-usaha bagi maksud menjunjung kesucian ugama Islam dan mengimbangi perkembangan dan kemajuan dibidang kebendaan. Selain dari berusaha untuk memperkembangkan pengajaran ugama Islam, Kerajaan juga sedang menimbangkan pemikiran ke arah memanfaatkan harta-benda yang terkumpul dalam BaitulMal untuk faedah yang berkebajikan sebagaimana yang dikehendaki oleh Ugama Islam”

    15 Julai 1988

  • 25 September 1990

    Semasa keberangkatan Baginda ke Persidangan Majlis Ugama Islam pada 25 September 1990 di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Bandar Seri Begawan telah ditekankan lagi peri mustahaknya memperkembangkan harta BaitulMal untuk kepentingan orang-orang Islam lebih-lebih lagi bagi jaminan masa depan yang sukar diramal.

  • 26 Ogos 1993

    • Pembentukan Jawatankuasa Khas Penubuhan Unit Pelaburan Majlis Ugama Islam.
    • Jawatankuasa ini berperanan menyediakan keperluan-keperluan ke arah penubuhan unit berkenaan seperti menyediakan struktur gaji dan kakitangan, had kebebasan bergerak bagi membolehkannya beroperasi sebagai “business operation” dan lain-lain keperluan bagi unit berkenaan.

    26 Ogos 1993

  • 05 Julai 1994

    Cadangan untuk menubuhkan unit pelaburan berkenaan telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang dinamakan sebagai BADAN TANMIAH HARTA MAJLIS UGAMA ISLAM.

    Badan ini berperanan mengurus dan mengendalikan Hal Ehwal Harta Majlis Ugama Islam daripada Kumpulan Wang Pentadbiran Am dengan melaksanakan rancangan-rancangan pelaburan yang bersesuaian.

    Dengan penubuhannya, Jawatankuasa Mengkaji Perkembangan dan Pelaburan Harta-Harta Majlis Ugama Islam telah dibubarkan dan diganti dengan Jawatankuasa Penasihat Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam.

  • 4 September 1995

    Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam mula beroperasi di Bangunan Perdagangan Baitulmal Jalan Kota Batu.

    4 September 1995

  • 23 Ogos 2001

    Penubuhan Lembaga Pengarah yang pertama atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.