BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Ogos 2026 – Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI) telah mengadakan lawatan kerja ke Ladang Syarikat Mohd. Norfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-Anak yang terletak di Lot G, Simpang 31, Jalan Lampaki, Kampung Mulaut, sebagai sebahagian daripada usaha meninjau potensi kerjasama strategik dan peluang pembangunan dalam sektor agromakanan, khususnya dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

Lawatan tersebut diketuai oleh Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, Timbalan Menteri Pendidikan selaku Naib Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Pengerusi Lembaga Pengarah BTHMUI. Turut menyertai rombongan ialah Yang Mulia Awang Haji Hamzah bin Haji Sabtu, Pemangku Timbalan Setiausaha Majlis Ugama Islam, Yang Mulia Mohammad Hamita bin Haji Md. Taib, Pengarah BTHMUI, serta para pegawai kanan dan pegawai BTHMUI.

Lawatan kerja tersebut mencerminkan komitmen berterusan BTHMUI dalam meneroka sektor-sektor strategik yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan mandatnya untuk membangun, mengurus dan memajukan aset serta pelaburan Majlis Ugama Islam. Sektor agromakanan merupakan antara bidang yang diberi perhatian memandangkan peranannya dalam memperkukuhkan pengeluaran makanan tempatan, meningkatkan rantaian bekalan domestik serta menyokong usaha mengurangkan kebergantungan terhadap sumber makanan import.

Atur cara lawatan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah BTHMUI, Yang Mulia Mohammad Hamita bin Haji Md. Taib. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak Syarikat Mohd. Norfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-Anak atas kesudian menerima kunjungan rombongan BTHMUI serta berkongsi perkembangan, pengalaman dan kepakaran syarikat dalam industri penternakan dan pemprosesan makanan halal.

Beliau menjelaskan bahawa lawatan tersebut memberi peluang kepada BTHMUI untuk memahami dengan lebih dekat model operasi syarikat tempatan yang berpotensi, di samping menilai ruang kerjasama yang boleh diterokai dalam bidang berkaitan keterjaminan makanan, industri halal dan pembangunan rantaian nilai makanan tempatan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian syarikat sebagai antara perusahaan tempatan yang berjaya mengintegrasikan aktiviti penternakan, pemprosesan dan pengedaran produk makanan halal melalui penggunaan teknologi moden serta amalan terbaik industri. Keupayaan syarikat memenuhi permintaan pasaran, termasuk pembekalan daging bagi ibadah korban dan akikah serta Korban Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, mencerminkan komitmen syarikat dalam menghasilkan produk halal yang berkualiti tinggi.

Majlis diteruskan dengan sesi taklimat oleh pihak Syarikat Mohd. Norfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-Anak mengenai sejarah penubuhan syarikat, model perniagaan, operasi semasa serta perancangan pengembangan pada masa akan datang. Taklimat tersebut turut memberikan gambaran mengenai pendekatan syarikat dalam menguruskan aktiviti penternakan, penggunaan teknologi, kawalan kualiti serta pembangunan rantaian nilai produk makanan halal.

Seterusnya, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal telah berkesempatan menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan daripada pihak syarikat kepada empat pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang sedang mengikuti program latihan industri di Syarikat Mohd. Norfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-Anak.

Penyampaian sijil tersebut merupakan tanda penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi para pelajar sepanjang menjalani latihan industri, di samping mencerminkan sokongan berterusan terhadap pembangunan modal insan serta pengukuhan hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan pihak industri.

Rombongan kemudiannya dibawa meninjau kemudahan operasi syarikat termasuk kawasan penternakan fidlot (feedlot), serta menyaksikan demonstrasi proses penyembelihan seekor ternakan sebagai sebahagian daripada penerangan mengenai pengurusan operasi dan pemprosesan produk halal. Lawatan diteruskan ke kemudahan kedai daging (butcher shop) bagi melihat aspek penyediaan dan pengedaran produk kepada pengguna.

Lawatan tersebut turut menjadi platform pertukaran pandangan mengenai cabaran industri, perkembangan sektor agromakanan, penggunaan teknologi serta prospek pembangunan industri halal tempatan. Perbincangan berkenaan diharap dapat membuka ruang kepada penerokaan kerjasama yang berpotensi antara BTHMUI dan pihak syarikat pada masa hadapan.

Melalui lawatan kerja ini, BTHMUI berharap dapat memperoleh gambaran yang lebih menyeluruh mengenai potensi sektor agromakanan serta mengenal pasti bidang-bidang kerjasama yang berdaya maju, termasuk pembangunan industri halal, perkongsian kepakaran dan peluang pelaburan yang mampu menyumbang kepada keterjaminan makanan negara, pengukuhan aset dan pelaburan serta pembangunan sosioekonomi Negara Brunei Darussalam secara mampan.

admin
Author: admin